Petua (Cara Islam) Untuk Menduduki Rumah Baru
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rumah adalah salah satu keperluan kita untuk berteduh dan tidur dan membina keluarga bahagia di dalamnya iaitu tempat pendidikan ahli keluarga, beramal ibadah dan melepaskan penat lelah setelah bekerja disiang hari. Rumah yang hendak dimiliki perlulah dibeli secara Islam dan jangan menggunakan sistem riba . Perlu diingatkan kerana rumah yang dibeli dengan cara yang halal akan mendatangkan keberkataan dan keredaan Allah SWT.
Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna. Dalam setiap amalan dan pekerjaan yang hendak kita lakukan terdapat doa dan adab-adab yang dianjurkan Islam untuk kita ikuti dan amalkan. Termasuk juga apabila kita hendak menduduki rumah baru atau rumah lama yang ditinggalkan ada beberapa doa dan amalkan yang perlu kita lakukan supaya terhindar daripada gangguan makhluk halus yang menjadi penghuni rumah tersebut tanpa kita ketahui.
Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :
1. Solat berjemaah dan azan. Rumah yang baru di beli atau baru di duduki eloklah dilakukan solat berjemaah dikalangan ahli keluarga. Mulakan dengan laungan azan untuk melakukan solat fardu ketika pertama kali masuk rumah baru. Ia juga baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW. pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg dikenali sebgai Al-'Ammar) yang suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni.
2. Membaca surah Al-Baqarah - Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasululuuah SAW bersabda yang bermaksud; "Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan" (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Muslim dan Nasai)
3. Banyakkan solat sunat dan membaca al-Quran - Dalam sebuah hadis lain pula, Rasulullah SAW. juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud: "Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran." (Hadis riwayat Baihaqi)
4. Baca Zikir al-Mathurat kubra setiap pagi (lepas subuh) dan petang (selepas asar atau lepas magrib) amalan ini bukan untuk menduduki rumah baru sahaja tetapi amalan harian yang sunat yang dituntut untuk dibacakan setiap hari pagi dan petang. Insya Allah jin kafir dan syaitan akan menjadi lemah untuk menggoda dan mengganggu pengamalnya yang sentiasa membaca zikir al-Mathurat .
5. Pagar Rumah Secara Islam - Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut tertentu di rumah atau bangunan yang diduduki dengan kepercayaan bahawa benda tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang bertentangan di sisi Islam. Bagaimana pun ada cara yang dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam.
i. Baca surah Yasin sekali dan sediakan air satu bekas kemudian 'memagar rumah' dengan merenjis air Yassin di sekeliling rumah. Amalan ini adalah amalan masyarakat Islam untuk menghalang daripada gangguan jin. Setiap ayat al-Quran yang dibacakan keatas air akan ada gelumbang yang baik dan laju dan amat dibenci oleh makhluk ghaib seperti jin dan syaitan.
“... Surah Yasin adalah qalbul Quran (jantung atau hati al-Quran), tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan Allah dan negeri akhirat (syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di antara kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth).
Walaupun hadis di atas dhaif tetapi ulama membenarkan (untuk beramal bukan untuk menjadi sumber hukum) untuk diamalkan semata-mata mencari keredhaan Allah SWT dan terdapat hadis sahih menyatakan :
Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran), maka baginya satu pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi 10 kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)
Surah Yasin adalah salah satu daripada surah-surah dalam al-Quran.
ii. Ambil air kemudian baca surah Al-Fatihah sekali, ayat Kursi sekali, Surah 3 Kul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas) sekali. Kemudian tiup ke dalam air tersebut perlahan-lahan hingga habis nafas. Setelah itu, jirus dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru rumah dengan mulai dengan penjuru yang terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya, mengikut arah berlawanan jarum jam. Waulahualam.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita beramal dengan amalan cara Islam dalam apa keadaan sekali pun samaada semasa kita membeli rumah atau semasa kita hendak menduduki rumah baru. Rumah yang berkat adalah rumah yang sentiasa dilaungkan bacaan al-Quran, berzikir, solat-solat sunat dan mengadakan majlis tazkirah dan tarbiah.
1 comment:
thanks the informations..
eh lagu background awk tu wat saye terkejot :)
Post a Comment