Saturday 13 July 2013

Info Tentang Laparoscopy/Laparoskopi - Endometriosis


Pembedahan laparoskopi atau juga disebut pembedahan lubang kunci ialah pemeriksaan melalui parutan kecil pada dinding abdomen.
Sekurang-kurangnya satu lubang tebukan dilakukan bergantung keadaan dan tebukan biasanya dilakukan di pusat bagi memasukkan kamera. Tebukan juga boleh dilakukan di bahagian iliak (pinggang) atau lumbar (bersebelahan ari-ari). Ia dilakukan sebagai alternatif kepada pembedahan melalui parutan yang besar.
Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Pusat Perubatan Tropicana, Dr Arifah Mohd Amin berkata kebanyakan pembedahan dilakukan bagi masalah pembengkakan kilang ovari (`cyst' atau sista) atau pada rahim. 


Kehadiran sista di ovari setiap bulan adalah normal, namun ada juga yang boleh membawa gejala bahaya. Terdapat dua kategori sista iaitu tidak bahaya (benign) dan kanser (malignant). Gejala dialami bergantung kepada jenis sista terbabit.

Antara gejala yang memerlukan pembedahan segera adalah kesakitan yang akut (acute pain) yang boleh juga disusuli dengan loya atau muntah dan pitam.


“Ada ketika seseorang merasai dirinya ‘gemuk’ kerana pakaian biasa dipakai semakin ketat, atau berasa senak di bahagian perut. Sista sebegini boleh membesar dan mengambil masa untuk tumbuh sebesar kandungan wanita yang hamil,” katanya. 

Sista yang hadir setiap bulan sekitar haid digelar ‘functional cyst.’ Jenis ini tidak membawa sebarang gejala atau tanda. Ia tidak bahaya dan akan hilang dengan sendiri.

‘Endometriosis’ atau ‘polycystic ovaries’ adalah di antara sista yang juga tidak bahaya tetapi selalunya berkaitan dengan masalah kepayahan untuk hamil akibat ketidaksuburan. `Endometriosis’ boleh hadir dalam bentuk tumbuhan kecil (spots) atau sista. Sekiranya pembedahan dilakukan kepada ‘endometriotic cyst,’ kandungannya adalah kumpulan darah lama. 

“Sejenis lagi sista yang biasa berlaku kepada wanita muda adalah ‘dermoid cyst’ dan kandungannya adalah kumpulan lemak, rambut, gigi atau tulang. Kebanyakan ‘dermoid cyst’ tidak dapat dikesan sehinggalah saiznya agak besar dan menyebabkan sedikit ketidakselesaan,” katanya.

Dr Arifah berkata, kebaikan prosedur laparoskopi melebihi pembedahan biasa kerana ia membolehkan pesakit cepat sembuh dan kembali ke aktiviti harian seperti biasa dan waktu berada di hospital selepas pembedahan juga boleh dikurangkan. Ini disebabkan parut yang kecil dan tempoh sembuh yang cepat. Jangkaan tempoh sesuatu pembedahan laparoskopi bergantung kepada prosedur yang dilakukan dan beberapa faktor lain.



Cara mengetahui kehadiran sista/cyst:



  • Ia mungkin berlaku secara kebetulan ketika pesakit melakukan pemeriksaan dengan pakar sakit puan. 

  • Perut buncit.

  • Sakit di bahagian bawah abdomen – sista yang pecah dan bocor boleh menyebabkan kesakitan. Pembedahan perlu dilakukan segera bagi menyelamatkan bahagian ovari lain yang masih baik.

  • Haid tidak teratur, sakit ketika haid atau ketika melakukan hubungan kelamin.

  • Tekanan pada pundi kencing yang menyebabkan kerap kencing atau kencing tidak lawas.

  • Hilang selera makan dan berat turun dengan mendadak bersama buncit di bahagian abdomen (antara tanda kanser ovari).



    Menurutnya, walaupun tidak ada cara yang pasti untuk mencegah pertumbuhan sista, pemeriksaan secara berkala tetap adalah satu cara untuk membantu memastikan perubahan dalam ovari didiagnosis seawal mungkin.


    Di samping itu, seseorang itu perlu peka kepada perubahan dalam kitaran haidnya, termasuk sakit atau turutan yang tidak teratur. Berbincang dengan pakar mengenai perubahan ini supaya rawatan susulan boleh dijalankan sewajarnya.

    Artikal ini disiarkan pada:
    29 Jun 2013
    (myMetro)

  • No comments: