Wednesday 3 July 2013

Apa punca endometriosis??




PENYAKIT ENDOMETRIOSIS
Penyakit endometriosis merupakan sejenis penyakit yang agak luar biasa. Ramai yang tidak mengetahui tentang penyakit ini sedangkan sekarang makin ramai wanita yang menghidapinya. Di antara masalah yang ditumbulkan oleh penyakit ini ialah senggugut dan kesakitan, kemandulan dan keguguran yang mungkin berulang-kali. Ia juga boleh menyebabkan berbagai jenis masalah seperti pendarahan, gangguan kencing, kesakitan dan lain-lain.

Apakah sebenarnya penyakit Endometriosis??

Penyakit endometriosis ini adalah satu keadaan luar biasa di mana tisu dari selaput dalam rahim yang digelar endometrium telah tumbuh di bahagian yang tidak sepatutnya iaitu di luar rahim. Selaput ini biasanya luruh bersama-sama darah haid. Oleh itu campuran darah dari rahim dengan tisyu yang telah berkecai daripada lapisan endometrium serta kuman-kuman bakteria, menjadikan apa yang digelar ‘darah kotor’ atau darah haid.



Apa itu endometriosis?
Apabila tisu yang sepatutnya berada di dalam rahim, tetapi sekarang berada di luar kawasannya, ini akan dipanggil endometriosis. Ianya berfungsi sama seperti endometrium di dalam rahim. 

Kawasan-kawasan yang biasa didapati endometriosis adalah seperti ovari, tiub falopio, permukaan rahim, kawasan di belakang rahim, usus, pundi kencing dan ureter serta rektum.

Tisu endometrium ini akan melekat pada organ-organ lain di dalam pinggul (pelvis) dan juga pada lapisan dalam rongga abdomen yang dipanggil peritoneum. 
Sista mungkin terbentuk apabila tisu endometrium ini berada di ovari, ia dipanggil endometrioma.

Masalahnya, kata Dr. Shah Reza, tisu-tisu endometrium di luar rahim ini sebagaimana di dalam rahim, turut terpengaruh dengan perubahan hormon, menipis dan gugur sebagai satu pendarahan bulanan.

Tetapi pendarahan ini berlaku di kawasan tertutup dan bukannya sebagai darah haid bulanan. Inilah yang menyebabkan kesakitan sebelum dan semasa haid bulanan. Pendarahan di luar kawasan ini juga menyebabkan berlakunya keradangan.

Dan akhirnya dengan gangguan bulanan, tisu-tisu yang terlibat berparut dan penyembuhan seterusnya akan mengakibatkan tisu-tisu dan organ-organ melekat di antara satu sama lain, penaupan dan perekatan ini juga menimbulkan kesakitan.

Lazimnya, rungutan endometriosis ini bertambah serius dari semasa ke semasa. Perawatan boleh membantu penyakit ini dari menjadi bertambah teruk.

Siapakah yang berisiko?
Pada kebiasaannya, umur 30 hingga 40 tahun merupakan umur yang lazim didalangi endometriosis. Wanita yang mempunyai darah haid tidak dikecualikan.
Lazimnya, endometriosis berlaku di kalangan wanita-wanita yang tidak mempunyai anak. Keturunan juga dikaitkan. Sebanyak 75 peratus wanita yang mempunyai sakit pinggul (pelvis) yang kronik, endometriosis menjadi salah satu puncanya.


Simptom-simptom Endometriosis
Menurut Dr. Shah Reza, rungutan utama merupakan kesakitan di bahagian pinggul. Kesakitan ini boleh dirasai semasa hubungan seksual, semasa membuang air besar ataupun air kecil dan juga sebelum dan semasa datangnya haid bulanan. 

Pendarahan haid mungkin datang dengan kerap. Seandainya endometriosis ini sudah teruk, kemandulan mungkin berlaku. Harus diingatkan, darjah kesakitan mungkin tidak selari dengan keseriusan endometriosis.

Ada pula wanita yang mempunyai endometriosis tetapi tidak mempunyai rungutan. Penyakit ini hanya diketahui apabila mereka dirujuk untuk perawatan kemandulan.

Tambah beliau, anggaran 30 peratus wanita yang mempunyai masalah kemandulan kemungkinan besar mengalami endometriosis.
Begitu juga dengan banyak kaedah perawatan endometriosis di mana kesan-kesannya berdasarkan kepada hubungan dan pengaruh hormon yang terjadi semasa seseorang hamil.

*Diagnosis
Pemeriksaan fizikal dan juga pinggul dilakukan untuk mencari punca-punca lain yang memberikan kesakitan dan permasalahan.

Laparoskopi mungkin dicadangkan untuk meneliti dan membantu dalam penyelesaian endometriosis. 

Melalui laparoskopi, tisu-tisu endometriosis boleh disingkirkan. Tisu-tisu yang diambil akan dihantar ke makmal untuk kajian selanjutnya.


Bagaimana endometrium terjadi??
Pada kebiasaannya tempat-tempat di luar rahim di mana tisu endometrium ini tumbuh ialah pada kilang telur (ovari), belakang rahim (utero sacral ligament), tiub saluran fallopian, pundi-pundi kencing, kadang-kala di tempat-tempat yang aneh seperti parut bekas pembedahan untuk melahirkan anak ataupun pembedahan. Endometrium ini juga boleh tumbuh dengan luar biasa saiznya pada dinding/otot rahim menyebabkan penyakit yang digelar AdenomyosisDinding rahim menjadi besar dari biasa dan membengkak.

Bagaimana tisyu endometrium ini boleh tumbuh pada tempat-tempat yang luar biasa, tidaklah diketahui dengan tepat. Terdapat beberapa teori yang cuba menjelaskan berlakunya keadaan seperti ini. Di antaranya ialah ada kemungkinan darah kotor melimpah atau tumpah ke belakang rahim melalui saluran fallopian. Mungkin ini disebabkan oleh rahim yang kedudukannya luar biasa iaitu jatuh ke belakang ke arah tulang tongking (retroverted uterus). Keadaan rahim begini sering dikaitkan dengan penyakit endometriosis sedangkan pesakit yang memiliki rahim yang menghadap ke hadapan (anteverted) jarang ada penyakit endometriosis.



Ada juga yang menyatakan bahawa tisu endometrium ini di bawa ke tempat lain melalui saluran darah atau saluran kelenjar. Tetapi hakikat sebenarnya kita tidak tahu bagaimana ianya berlaku. Ada juga yang mengaitkan bahawa endometriosis ini sering berlaku di kalangan wanita-wanita yang sering tertekan jiwa mereka (stress), yang mudah menggelabah dan di kalangan mereka yang sangat mementingkan kerjaya dan mereka yang tinggi I.Q.nya.

Ada juga yang mengatakan bahawa system ketahanan pada wanita tersebut telah lemah dan lentur, oleh itu tisu- tisu yang patut keluar dari tubuhnya kini menyerang balik tubuh badannya sendiri. Apa yang terjadi ialah apabila tisu endometrium ini melekat pada tempat tempat tertentu, ia mulai tumbuh. Lapisan endometrium menjadi tebal akibat daripada rangsangan hormon wanita dalam pusingan haid dan apabila haid berlaku lapisan endometrium tersebut juga akan mengeluarkan darah.

Jika keadaan begini berlaku dalam telur (ovari) lama kelamaan darah akan berkumpul serta menyebabkan apa yang digelar ovarian cysts atau chocolate cysts kerana mengandungi darah kotor yang berbentuk seperti pasta coklat. 


*Rawatan
Harus diingat bahawa rawatan tidak bersifat kekal. Perawatan mungkin boleh menghilangkan kesakitan dan juga kemandulan tetapi bersama peredaran masa, endometriosis akan kembali semula.

Kaedah perawatan juga bergantung sama ada wanita itu hanya ingin menghilangkan simptomnya ataupun ingin mendapatkan anak.

Untuk menahan kesakitan, ubat yang biasa digunakan terdiri daripada satu golongan ubat yang bercorak bukan steroid tetapi mempunyai keupayaan antiradang dan juga mengurangkan kesakitan.

Hormon digunakan untuk mengurangkan kemusnahan yang dikaitkan dengan endometriosis, ia boleh membantut pertumbuhan tisu-tisu endometrium dan juga mencegah penaupan dan perekatan di antara tisu-tisu,kata Dr. Shah Reza. 

Hormon-hormon ini memberhentikan seketika pengeluaran hormon wanita oleh ovari. Hormon-hormon yang biasa digunakan adalah seperti pil perancang keluarga, ubat gonadotropin-releasing hormon (GnRH), progesteron dan danazol.

Kesesuaian ubat-ubat tersebut bercorak individu. Kesan samping hormon-hormon tersebut ketara dan perlu pengawasan intim daripada doktor. Ia tidak membantu menghilangkan kesakitan sedia ada.

*Pil perancangan keluarga
Ubat ini membantu supaya haid bulanan menjadi teratur, julat kedatangannya pendek dan jumlah yang turun sedikit, ini membantu mengurangkan kesakitan. 

Doktor juga mungkin memberikan pil-pil hormon yang mencegah datangnya haid. Ditegaskan sekali lagi, rawatan adalah bercorak individu.

*GnRH
GnRH adalah hormon yang membantu kitaran haid bulanan. Agonis GnRH yang digunakan lebih kuat dari GnRH semula jadi di dalam badan. Ia mengurangkan paras hormon estrogen dengan memberhentikan fungsi ovari. 

Akibatnya, wanita tersebut mengalami menopaus. Kesan ini hanya untuk sementara waktu sahaja. Kesan samping yang selalu kedapatan adalah seperti panas badan, sakit kepala, kekeringan faraj dan kerapuhan tulang.

Rawatan ini memakan masa enam bulan. Untuk mengurangkan kesan sampingan, hormon estrogen mungkin diberikan secara berkala. Haid akan datang kembali selepas 6 hingga 10 minggu selepas pemberhentian.

*Progesteron
Ia berfungsi dengan mengurangkan kesan tisu oleh hormon estrogen. Haid bulanan akan terhenti semasa penggunaan, mungkin juga wanita ini akan mengalami pendarahan yang tidak teratur. Kesan samping yang biasa dirungutkan adalah seperti perubahan mood, perubahan berat badan, kembung dan masalah seksual.

*Danazol
Juga merupakan sejenis hormon yang menurunkan kedua-dua paras hormon estrogen dan progesteron. Penggunaannya juga untuk selama 6 bulan. Semasa penggunaan, haid bulanan terhenti. 

Kesan sampingan yang biasa dirunguti adalah seperti pertambahan berat badan, jerawat, suara menjadi bertambah kasar dan garau, tumbuh bulu mirip lelaki.

*Pembedahan
Dr. Shah Reza berkata, pembedahan mungkin dicadangkan untuk membuang tisu-tisu endometrium di kawasan pinggul. Cara pembedahan mungkin secara terbuka ataupun laparoskopi. 

Harus diingatkan, semakin serius endometriosis, semakin cepat datangnya rungutan selepas pembedahan. Lazimnya, rungutan mungkin datang seawal setahun selepas pembedahan.

Sekiranya penyakit endometriosis ini terlalu serius, pembedahan histerektomi (pembedahan rahim) mungkin dicadangkan. Sekiranya kedua-dua ovari dibuang, endometriosis mungkin hilang, begitu juga dengan kesakitan, haid bulanan dan keupayaan untuk mendapatkan anak,terangnya.

Penyakit endometriosis merupakan penyakit berjangka masa panjang. Selagi wanita itu tidak putus haid, menopaus, selagi itulah rungutan akan berlangsung. 
Walau bagaimanapun, rawatan-rawatan tetap ada, hanya perlu mencari perawatan mengikut kesesuaian individu





2 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

Triptorelin is a gonadotropin-releasing hormone agonist (GnRH agonist) used as the acetate or pamoate salts. By causing constant stimulation of the pituitary, it decreases pituitary secretion of gonadotropins luteinizing hormone (LH) and follicle stimulating hormone (FSH). Triptorelin Acetate